Sejarah Raja Sulaiman dan Lakandula Menyerang Pasukan Sepanyol


Pada 24 Mei 1570M, Raja Sulaiman dan  Lakandula telah mengetuai bala tentera Kerajaan Tondo (Manila) untuk menyerang pasukan Sepanyol.

Dengan persenjataan yang agak ketinggalan telah menyebabkan gabungan Kerajaan Manila telah dapat ditewaskan. Selain masalah teknologi persenjataan, suku Filipina yang telah dipaksa memeluk ajaran Kristian turut membantu angkatan Sepanyol dalam perang ini. 

Pada 1572M, Sultan Brunei dan Portugis telah menyediakan satu angkatan perang untuk menyerang kedudukan Sepanyol di Manila namun gagal. Portugis membantu Manila disebabkan permusuhan antara dua negara kuasa penjajah barat tersebut. 

Tahun 1574M, sekali lagi Brunei menyediakan angkatan perang untuk menyerang kedudukan Sepanyol namun terpaksa dibatalkan kerana bimbang dengan kedudukan keselamatan Brunei pada waktu itu. Sebagai amaran kepada Brunei supaya tidak membantu Manila, Sepanyol telah bertindak membedil Brunei pada tahun 1578M dan 1581M. 

Dalam pertempuran pada tahun 1574M, Rajah Sulaiman, ayah saudaranya Raja Lakandula dan Tarik Sulaiman dari Macabebe  telah berjaya ditewaskan oleh Sepanyol dalam Perang Bangkusay.

Kerana marahkan Raja Sulaiman, pihak Sepanyol bertindak membakar kota Manila (berdekatan Hotel Manila sekarang) dan membangunkan Fort Santiago di tapak berkenaan.

Dalam penentangan Kerajaan Manila ini, kita hanya digambarkan bahawa peperangan ini hanya melibatkan pihak Raja Sulaiman dan Sepanyol sahaja tanpa menyebut sumbangan daripada Raja Lakandula.

Ini mungkin disebabkan hanya Raja Sulaiman sahaja yang Syahid dalam peperangan ini dalam mempertahankan akidahnya. Sedangkan Raja Lakandula dikatakan telah masuk Kristian begitu juga dengan Raja Matanda yang sedang gering pada waktu itu yang  minta dibaptiskan untuk masuk Kristian. 

Walaupun telah tewas, sebahagian tentera yang selamat telah melarikan diri dan melancarkan pemberontakan ke atas Sepanyol dalam skala yang lebih kecil namun tidak mampu memberi kesan kepada Sepanyol.

Kekalahan Rajah Sulaiman dan angkatannya telah menyebabkan ramai orang Islam di Filipina telah murtad dan menjadi Kristian sehingga sekarang.