Punca Dato Maharaja Lela Bangkit Menentang Penjajah


Selepas mengukuhkan kedudukan di Pulau Pinang dan Singapura, penjajah British mula letak mata pada Perak pula. Negeri ini diberkati dengan sumber tin sangat banyak. Walau bagaimanapun, negeri ini juga ada dua masalah besar:

Isu warisan selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871.

Konflik kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San yang asyik berperang antara satu sama lain untuk membolot sumber perlombongan 

Isu warisan ini mudah difahami. Katanya Raja Abdullah adalah waris sulung. Tetapi baginda tiada dalam negeri semasa Sultan Ali mangkat. Jadi Raja Bendahara Sultan Ismail dijulang sebagai sultan pula, memintas abangnya Abdullah.

Untuk menyelesaikan dua masalah besar di atas, Raja Abdullah berhubung dengan pihak British dengan bantuan seorang kenalan bernama Tan Kim Cheng. Surat baginda sampai pada tangan Sir Andrew Clarke, yang dilantik sebagai Gabenor Singapura dan Negeri-Negeri Selat.

“Beta mahu menjalinkan persahabatan kekal dengan Kerajaan Inggeris, yang akan menguntungkan kedua-dua pihak. Dan beta meminta sahabat beta, Sir Andrew Clarke, hantar seorang pemimpin berkaliber untuk duduk bersama beta di Perak… dan tunjuk kepada beta sistem kepimpinan yang baik untuk wilayah-wilayah beta, supaya negara beta boleh dibuka dan menjana perolehan serta kekal aman dan damai.”

Walau bagaimanapun, ada isu yang sangat kritikal di sini. Surat asli ditulis seorang munshi bernama Mohamed Said dalam bahasa Melayu dan diterjemah ke bahasa Inggeris oleh William Henry Read. Dan katanya, Read mengubah konteks Said sampai habis lari makna . Raja Abdullah cuma meminta seorang Residen untuk “bantu dan nasihat dalam hal ehwal kerajaan supaya dapat membangunkan sumber, mengukuhkan pentadbiran dan menjaminkan kesejahteraan dan kebahagiaan penduduk.”

Mempelawa Ular Untuk Patuk Dubuk.

Umumnya, Ghee Hin dan Hai San adalah dua dubuk pada kerajaan Perak. Tetapi kemasukan British adalah ibaratkan seekor ular yang sangat berbisa. Perubahan konteks asal telah menunjukkan risiko besar yang menanti. Apa-apa pun, surat ini menjalinkan persefahaman antara Perak dan British dengan Perjanjian Pangkor 1874. Dengan perjanjian ini, Raja Abdullah dijulang British sebagai Sultan Perak dan pemerintah negeri yang sah. Baginda juga berkuasa mutlak dalam hal ehwal bangsa seperti Agama Islam dan Adat Melayu. Dua hal ini tidak boleh dikacau Residen British.

Namun lain yang dirancang; lain yang jadi. British menaikkan pangkat James W.W. Birth daripada “Colonial Secretary” kepada “First British Resident in Perak”. Birch ‘masuk pejabat’ pada 4 November 1874; dan dalam masa beberapa bulan saja, pihak British naik meluat dengan cara pentadbiran beliau. Bayangkan Sir Andrew Clarke sendiri cakap, “aku sangat marah dengan perangai Birch yang buat suka hati ikut kepala lutut dia.” Kalau Gabenor Clarke sendiri naik menyampah, bayangkan hati perasaan orang Melayu dibawah Sultan Abdullah pada masa itu.

Jatuhnya Sabun Birch.

Pungutan cukai dan zakat menjadi isu paling besar selepas kedatangan J.W.W. Birch. Sebelum ini, bidangkuasa pungutan ada pada tangan Imam Paduka Tuan yang mengumpulkan hasil daripada zakat, fitrah dan sedekah – tetapi Birch mengadakan beberapa peraturan baharu yang bercanggah dengan amalan tempatan dan proses pungutan (Abdullah, 1993). Ibaratkan babi yang menyondol, Birch juga enggan menghormati sistem sosial tempatan dan tidak tahu berbahasa Melayu. Ada catatan mendakwa Birch cakap, “aku tidak peduli perihal adat lapuk negeri ini yang tidak berbaloi untuk difikir pun.”

Entah apa lagi yang Birch buat di sebalik tabir. Birch dilaporkan menggunakan kuasa polis untuk menakut-nakutkan orang ramai. Pihak Sultan semakin murka dan sudah mula bincang untuk membunuh bermula Julai 1875 lagi. Membujur lalu melintang patah, rancangan menjadi kenyataan tiga hari selepas takbir raya mula berkumandangan daripada bibir umat Islam.

Birch pada masa itu ada di Pasir Salak dan mungkin tidak tahu pasal sekumpulan orang Melayu yang sudah bersenjata di sana. Kumpulan ini terdiri daripada pejuang-pejuang seperti Dato Maharaja Lela, Datuk Sagor, Sipuntum, Pandak Endut, Mohamed Amin, Ngah Ibrahim dan Ngah Jabor. Birch pula ketika itu sedang mandi. Sedang elok air melitupi tubuh, tiba-tiba kulitnya terkoyak dek balingan lembing yang tepat.

Tidak tahulah sabun Birch jatuh atau terpelanting. Yang pasti Birch tidak kutip. Turut terbunuh adalah kerana Birch iaitu Mat Arshad, yang tumbang kerana serangan Pak Endut. Malah Endut dikatakan orang pertama yang membaling lembing ke arah bot permandian Birch, diikuti Kulup Ali, Ngah Jabor dan Panjang Bur.

Birch terjatuh ke dalam sungai dan kemudian ditikam Se Tuah sebelum ditetak Sepuntum pula. Mayat Birch ditemui 182 meter daripada lokasi kejadian . Pembunuhan Birch menggegarkan pentas politik British, yang terus memburu kumpulan terbabit dengan tawaran hadiah $9,000. Mereka mahu Dato Maharajalela. Malangnya, beliau ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung sehingga mati dalam sebuah mahkamah dipengerusikan Sultan Idris I (Aziz, 2019). Sultan Abdullah pula dituduh terlibat dalam pembunuhan ini lalu dibuang negeri ke Pulau Seychelles.