Penebangan Pokok Nunuk Ragang Berakhirnya Bangsa Tolinting Kuno


Peradaban Nunuk Ragang, admin menyebutnya sebagai "revivalisme". Ini kerana ia adalah revolusi sosio-budaya dan politik di bawah nama bangsa baru, iaitu bangsa "Tolinting", untuk membina kembali peradaban mereka selepas keruntuhan Kerajaan Poni. Kebudayaan, sistem pemerintahan dan hierarki sosial zaman Poni agak berbeza dari zaman Nunuk Ragang. 

Meskipun nenek moyang kita berusaha membina kembali bangsa mereka selepas keruntuhan Kerajaan Poni, tetapi revolusi budaya dan politik ini nampaknya gagal. Ini kerana, bangsa Tolinting Nunuk Ragang ini juga akhirnya berpecah belah menjadi suku-suku kecil, yang jumlahnya berpuluh. Suku-suku ini tidak memiliki "𝘴𝘦𝘯𝘴𝘦 𝘰𝘧 𝘯𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯𝘩𝘰𝘰𝘥" lagi dan mereka tidak memiliki nama bangsa. Ketika British datang ke Borneo, barulah nenek moyang kita kembali disatukan di bawah label "Dusun", oleh pihak British.

Mengapa disebut bangsa "Tolinting"? Kerana ia adalah imitasi dari sifat tumbuhan "Tolinting" itu sendiri, bahwa nenek moyang kita berharap agar keturunan mereka menjadi banyak sama seperti rumput Tolinting, yang akan bertumbuh di seluruh bumi Sabah. 

Terdapat banyak suku-suku yang keluar berhijrah keluar dr Nunuk Ragang secara berperingkat-peringkat, di mana terdapat paling tidak tiga gelombang besar penghijrahan bangsa Tolinting keluar dari Nunuk Ragang. Mereka tidak cuma membentuk suku-suku, tetapi juga wangsa. 

Dua wangsa Tolinting yang terakhir berhijrah keluar dari Nunuk Ragang adalah wangsa Mononggingi (jalur Aki Lintobon) dan wangsa Tontolobon (jalur Aki Tomui). Suku Tolinting dari wangsa Mononggingi seperti Tobilung dan Kimaragang ini berhijrah keluar sekitar tahun 1700an M, meninggalkan wangsa Tontolobon sebagai pemerintah tunggal Nunuk Ragang, sampailah raja terakhir mereka iaitu Raja Sompon meninggal pada tahun 1743 M.

Selepas meninggalnya raja wangsa Tontolobon yang terakhir, maka menandakan pengakhiran kepada peradaban Nunuk Ragang. Nation yang tidak memiliki raja atau pemerintah tunggal, akan mewujudkan masyarakat yang choatik dan anarki. 

Tidak menghairankan zaman "𝘔𝘪𝘴𝘢𝘯𝘨𝘰𝘥 𝘙𝘰𝘯𝘥𝘰𝘮" bermula setelah keruntuhan Nunuk Ragang, di mana "𝘮𝘪𝘴𝘢𝘯𝘨𝘰𝘥 𝘰𝘮 𝘮𝘢𝘯𝘨𝘢𝘺𝘰𝘶" (𝘸𝘢𝘳 𝘢𝘯𝘥 𝘩𝘦𝘢𝘥𝘩𝘶𝘯𝘵𝘪𝘯𝘨) menjadi endemik di kalangan suku-suku yang berpecah-pecah dalam sistem tribalisme. 

Nunuk Ragang sebagai simbol kesatuan, tidak memiliki makna lagi. Maka salah satu suku dari wangsa Tontolobon iaitu suku Liwogu, telah menebang pokok 𝘯𝘶𝘯𝘶𝘬 𝘳𝘢𝘨𝘢𝘯𝘨 (pokok ara) yang sekian lama menjadi simbol kesatuan bangsa Tolinting di Nunuk Ragang. 

Penebangan pokok ara (𝘯𝘶𝘯𝘶𝘬 𝘳𝘢𝘨𝘢𝘯𝘨) gergasi di Nunuk Ragang Tompios itu menyebabkan suku-suku Tontolobon seperti Liwan, Bundu, Liwogu, Tindal, Tagahas, Sinulihan, Talantang, Kujau dan sebagainya, mula keluar berhijrah. 

Beberapa suku dari wangsa Mononggingi yang masih menetap di Nunuk Ragang Tompios, seperti Kolikuan juga mula keluar dari Nunuk Ragang. Ketika suku-suku dari bangsa Tolinting Nunuk Ragang di Tompios ini keluar dari Nunuk Ragang, mereka tidak lagi disebut "Tolinting". Masing-masing mula menyebut diri sesuai nama suku mereka. 

Mereka menamakan suku-suku mereka sesuai nama tumbuhan atau binatang (totem) atau keadaan geografi penempatan mereka. Misalnya suku Tuhawon berasal dari nama pokok "𝘵𝘶𝘩𝘢𝘶" yang banyak di sekitar penempatan mereka; suku  Sunggangngon berasal dari nama burung "𝘴𝘶𝘯𝘨𝘨𝘢𝘯𝘨" (enggang) yang membantu nenek moyang mereka dari pemburu kepala; suku Gana berasal dari keadaan geografi penempatan mereka yang rata (𝘨𝘢𝘯𝘢 : rata/lapang).

Mengenai suku Liwogu yang menebang 𝘯𝘶𝘯𝘶𝘬 𝘳𝘢𝘨𝘢𝘯𝘨, ia ada dalam banyak sejarah lisan beberapa suku Dusun, seperti suku Lobu, Minokok dan Tompizos, iaitu suku bangsa Tolinting yang berhijrah di gelombang terakhir. Ketiga-tiga suku tersebut memiliki cerita lisan yang sama mengenai suku Liwogu yang menebang pokok 𝘯𝘶𝘯𝘶𝘬 𝘳𝘢𝘨𝘢𝘯𝘨. 

Selepas kesemua suku-suku dari bangsa Tolinting keluar berhijrah dari Nunuk Ragang di Tompios, maka penempatan itu pun menjadi kosong tidak berpenghuni. Beberapa suku Lobu kembali ke Tompios di lokasi penempatan Nunuk Ragang dan menyebut tempat itu sebagai "𝘓𝘪𝘯𝘶𝘮𝘰𝘣𝘶",  kerana tanah itu telah kosong tanpa penghuni manusia. 

Maka pada hari ini, suku Dusun Lobu merupakan suku yang menetap di sekitar lokasi sejarah Peradaban Nunuk Ragang bangsa Tolinting kuno - Dusunology, 26 September 2022.
____________

Note : gambar hiasan, sekumpulan Dayak di hadapan pokok 𝘯𝘶𝘯𝘶𝘬 𝘳𝘢𝘨𝘢𝘯𝘨 (ara).