Jalan Bakal Dibina Dari Melaka Ke Indonesia


Sebuah laluan darat yang baru menghubungkan Malaysia dengan Indonesia sedang dirangka oleh sektor swasta melalui Telok Gong di Masjid Tanah, Melaka ke Dumai, Indonesia yang sejauh 120 km melalui Selat Melaka.

Menurut Exco Pelaburan, Industri, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof mengatakan pembangunan ini yang termasuk pembinaan terowong atau jambatan. 

Ia akan mengambil masa selama 20 tahun untuk disiapkan dan akan memberi impak yang besar terhadap ekonomi bagi kedua-dua negara.

Cadangan kajian awal kebolehlaksanaan atau feasibility study yang dilakukan oleh pihak swasta secara prinsipalnya telah pun dipersetujui oleh kedua-dua buah negara namun masih menunggu kajian yang selanjutnya.

Sambil menunggu kajian yang lebih lanjut, mungkin kita boleh fikirkan apakah bentuk laluan antara dua negara ini yang dipisahkan oleh Selat Melaka. 

Sebagai seorang jurutera awam yang pernah terlibat dalam pembinaan terowong, jambatan dan lebuhraya, maka saya berikan butiran dari “pemahaman saya” terhadap projek ini.

Walaupun dikatakan jarak laluan ini sejauh 120 km merintangi Selat Melaka namun bahagian yang paling kritikal ialah antara Masjid Tanah ke Pulat Rupat, Indonesia sahaja. 

Jadi artikel ini hanya memberikan fokus kepada pembinaan jambatan atau terowong bagi menghubungkan kedua-dua daratan ini yang dianggarkan sejauh 40 – 45 km sahaja bergantung kepada pemilihan lokasi di Pulau Rupat.

Saya telah membuat lakaran profile atau section profile bagi laluan yang merintangi Selat Melaka.

Secara amnya adalah tidak berbaloi untuk membina sebuah terowong dasar laut sejauh 40 – 45 km kerana faktor kos yang tinggi dan isu teknikal tetapi pulangan pelaburan atau R.O.I yang tidak setimpal. 

Walaupun mungkin pakej pembangunan ini akan menggunakan modul pemberian tanah tebus laut @ land reclaimation seperti projek terowong Pulau Pinang untuk digunakan bagi pembinaan sebuah kawasan perbandaran baru.

Buat masa ini terowong terpanjang di dunia yang melalui dasar laut ialah Terowong Seiken di Jepun yang sejauh 53.85 km. Ini termasuk bahagian terowong yang terdapat di darat. Bahagian terowong yang berada di dasar laut hanyalah 23.3 km sahaja. Terowong ini digunakan untuk laluan kereta api laju.

Terowong yang merintasi United Kingdom dan Perancis yang dikenali sebagai Channel Tunnel ialah sepanjang 50.46 km. Namun bahagian yang berada betul-betul di dasar laut ialah sekitar 38 km sahaja. Terowong ini digunakan untuk kereta api laju dan juga kenderaan darat.

Disebabkan pembinaan laluan baru Melaka – Dumai juga untuk merancakkan sektor pelancongan maka pembinaan laluan ini harus menitikberatkan satu kelainan apabila kenderaan merintasi laut. 

Oleh itu pembinaan terowong yang bermula dari tanah daratan di Masjid Tanah, Melaka ke Pulau Rupat telah “hilang seri” apabila tiba-tiba kita muncul di hujung terowong sesudah sampai ke bumi Indonesia.

Oleh itu saya merasakan alternatif kedua ialah dengan gabungan pembinaan terowong dan jambatan serta pembinaan dua buah pulau buatan, sebuah di dalam perairan Malaysia dan satu lagi di Indonesia.  Sila rujuk gambar yang diberikan.

Mengapa harus dilakukan demikian?

Kita harus berusaha untuk memendekkan jarak pembinaan terowong di dasar laut kerana ia bukan sahaja kos yang tinggi tetapi isu teknikal yang tidak kurang rumitnya. 

Kita telah berdepan dengan cadangan pembinaan Terowong Pulau Pinang yang jaraknya hanya 6.5 km sahaja tetapi sehingga sekarang pun belum nampak rekabentuk yang dihasilkan, apatah lagi mahu memulakan pembinaannya.

Berdasarkan lakaran profile seperti yang saya sediakan ini akan terdapat sebuah jambatan dari daratan kedua-dua negara menuju ke pulau buatan. Di sinilah bermulanya pintu masuk dan keluar kenderaan. Kaedah ini telah digunakan oleh banyak negara dalam pembinaan terowong yang merintangi laut.

Saya menganggarkan terowong dasar laut adalah sekitar 18 – 20 km sahaja yang betul-betul berada di bawah dasar laut. Manakala antara 3 – 5 km di kedua-dua belah adalah berada di pulau buatan.

Kaedah pembinaan laluan terowong di pulau buatan adalah lebih mudah dengan “cofferdam” dan di situ juga akan dibuat “portal tunnel” atau mulut terowong.

Penggalian terowong boleh menggunakan kaedah Tunnel Boring Machine @ TBM seperti yang kita lakukan untuk membina Terowong SMART dan MRT.

Dengan pembinaan jambatan dan pulau buatan sebenarnya akan mengecilkan lagi laluan Selat Melaka yang sedia sempit tetapi merupakan selat yang paling sibuk di dunia.
 
Sekiranya projek ini dapat direalisasikan, ia akan memberi impak yang besar terhadap Malaysia khususnya Melaka dari segi sektor pelancongan dan perdagangan.