Hari ini 120 tahun yang lalu, berakhirnya Kerajaan Melayu Patani.
Kesultanan Patani merupakan antara kerajaan Melayu yang tertua berpusat di utara Semenanjung Tanah Melayu. Ia terbentuk sebagai kesinambungan kerajaan Langkasuka pada sekitar 1350~1450 & berada di kemuncaknya antara tahun 1585 ke 1649.
Kerajaan Melayu itu bagaimanapun tumpas kepada Kerajaan Rattanakosin Siam pada 1786, lalu dipecahkan kepada 7 negeri kecil dengan setiapnya mempunyai raja tersendiri. Ia melemahkan Patani & sebarang kebangkitan menentang Siam.
Di awal pemerintahan Siam di Patani, para pemerintah tempatan setiap negeri dibenarkan untuk meneruskan pemerintahan cara tradisi Melayu. Pada masa sama, mereka perlu menghantar ufti bunga emas sebagai tanda kesetiaan kepada Bangkok.
Ia menjadi amalan sehinggalah pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Syarifuddin (1890-1898), Raja Chulalongkorn memerintahkan supaya pentadbiran negeri-negeri Melayu Patani disusun semula mengikut sistem Thesaphiban.
Mengikut sistem pentadbiran ini, jawatan raja-raja tempatan tidak lagi diwarisi tetapi tertakluk kepada lantikan Raja Siam. Mereka juga tidak dibenarkan untuk menerima hasil cukai & menjalankan perniagaan, manakala pendapatan mereka diberi terus oleh Siam.
Kuasa Patani makin terhakis & anak Sultan Sulaiman, Tengku Abdul Kadir yang menggantikan bapanya sebagai Sultan Pattani yang baharu tidak diiktiraf Siam. Kerana enggan menandatangani dokumen melepaskan Patani, Sultan Abdul Kadir ditahan pada 21 Februari 1902.
Atas kesalahan ingkar perintah Raja Siam, Sultan Abdul Kadir dipenjarakan di Pitsanulok. Pada 6 Mac 1902, Raja Patani terakhir itu secara rasmi dilucutkan jawatan, sekaligus mengakhiri Dinasti Tuan Besar yang memerintah Patani selama 60 tahun.
Sumber: Nik Anuar Nik Mahmud, (1982) Sistem Thesaphiban dan kesannya keatas Kedaulatan dan Kewibawaan Raja-Raja Melayu Patani. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies
Gambar: Sultan Patani terakhir, Tengku Abdul Kadir (Thailands Historia)
#PeristiwaHariIni
Sumber Pages Facebook Astro Awani.