Pekerja Keselamatan Menang Gaji OT 3 Tahun


Murali Vengu seorang pekerja keselamatan yang telah bekerja dengan sebuah bengkel kereta kemalangan dan pusat tuntutan insurans, telah menfailkan tuntutan gaji kerja lebih masa (OT), gaji cuti rehat dan juga gaji cuti hari kelepasan am terhadap majikannya pada bulan Oktober, 2021 yang lalu. 

Murali seorang sahajalah yang menjaga keseluruhan stor bengkel yang menempatkan kereta-kereta kemalangan yang sedang melalui proses bayaran insurans. Majikan bengkel tidak mengambil pekerja keselamatan tambahan. Maka beliau diminta bekerja dari 7 malam sehinggalah pejabat bengkel tersebut dibuka pada jam 9 pagi pada hari keesokannya.

Walaupun beliau sepatutnya hanya bertugas selama 12 jam, iaitu dari 7 malam sehingga 7 pagi, tetapi biasanya beliau diminta tunggu sehingga pekerja ofis masuk kerja pada jam 9 pagi.  Maka beliau bekerja sehingga 14jam setiap hari. 

Murali juga tidak diperuntukkan apa jua cuti rehat setiap minggu, cuti tahunan dan diminta juga kerja pada hari kelepasan am. Pada hari di mana Murali terpaksa keluar untuk urusan penting, beliau terpaksa menempatkan isterinya di pondok pengawal untuk sementara waktu sehingga beliau pulang. 

Walaupun bekerja 12 jam hingga 14 jam setiap hari, tetapi beliau hanya menerima gaji asas sebanyak RM 1,300 dan elaun petrol sebanyak RM250 setiap bulan. Sehingga beliau berhenti kerja pada tahun 2018, beliau langsung tidak dibayar gaji kerja lebih masa OT.

Semasa rundingan di Jabatan Tenaga Kerja Subang Jaya pada hari ini, majikan cuba mengelirukan pegawai dengan mengatakan bahawa pelbagai bayaran telah dibuat kepada Murali.  Tetapi pemeriksaan lanjut menunjukkan bahawa majikan mengabungkan bayaran elaun petrol dan caruman KWSP untuk memberikan gambaran bahawa suatu jumlah besar telah dibayar kepada Murali dan tuntutannya tidak betul. 

Saya telah menerangkan bahawa, tuntutan Murali sebenarnya melibatkan pelbagai komponen seperti tuntutan gaji lebih masa (OT) hari kerja biasa, hari rehat, hari kelepasan am, gaji kerja hari rehat dan gaji kerja hari kelepasan am. Majikan pun mengaku bahawa bayaran gaji kerja lebih masa sememangnya tidak dibayar kepada Murali, maka mereka mencadangkan suatu penyelesaian dibincangkan tanpa melalui perbicaraan penuh.  

Selepas rundingan beberapa kali di antara majikan dan pegawai, akhirnya majikan  bersetuju membayar sebanyak RM 58,000  kepada Murali sebagai amaun penyelesaian. Jumlah tersebut adalah lebih kurang bersamaan dengan RM1,600/sebulan gaji lebih masa untuk 3 tahun.

Seperti Murali, ada ramai lagi pekerja keselamatan yang ditipu tanpa dibayar gaji lebih masa, walaupun ianya jelas dinyatakan sebagai amaun yang perlu dibayar oleh majikan dalam Akta Kerja. Maka, lebih ramai lagi pekerja keselamatan harus memastikan bahawa hak mereka terbela dan kiraan gaji merangkumi bayaran gaji kerja lebih masa. 

Rakyat/ pekerja hanya dapat mengajar majikan-majikan seperti ini, jika lebih ramai lagi yang menfailkan kes dan mengheret mereka ke Mahkamah Buruh. Tindakan ini amat penting, demi memastikan industry pengawal keselamatan ini menghentikan penindasan dan perampasan hasil titik peluh pekerja tanpa membayar gaji OT.