Kisah Bakekujira


Bakekujira (化鯨) ialah hantu ikan paus yang berupa rangka paus, ditemani oleh burung dan ikan yang aneh. Hantu ini berasal dari mitologi barat Jepun.

Kisah bakekujira wujud semasa fasa pemburuan ikan paus besar-besaran di perkampungan nelayan Jepun kerana jualan daging dan minyaknya yang begitu memberangsangkan.

Ikan paus yang mati diburu akan menjelma menjadi bakekujira dan membalas dendam terhadap nelayan yang bertanggungjawab memburunya. Jika seseorang nelayan terserempak dengan bakekujira, dia akan memperoleh sumpahan hantu itu dengan mengalami kesakitan dan sekembalinya si nelayan ke perkampungan, seluruh penduduk terjangkit dan alami malapetaka yang tidak dijangka. Inilah sumpahan bakekujira.

Terdapat kisah tentang para nelayan dari semenanjung Simane bertemu bakekujira. Pada waktu malam bersama hujan yang lebat, seorang nelayan melihat kelibat paus putih berenang di tepi pantai Laut Jepun. Teruja akan penangkapan, dia memanggil semua nelayan membawa tombak dan berlari menuju ke pantai tersebut supaya tidak terlepas mendapatkan paus putih itu.

Banyak kali mereka cuba tangkap, tetap mereka gagal. Setelah mereka meneliti paus tersebut, ternyata 'ikan' itu ialah bakekujira, hantu rangka paus yang ditemani dengan burung dan ikan yang aneh. Hantu itu kemudian menuju ke laut dalam meninggalkan para nelayan yang terpegun.

Selepas peristiwa tersebut, perkampungan Simane mengalami wabak penyakit yang sukar diubati, akibat sumpahan si bakekujira. Kemudian tiada siapa lagi melihat kelibat hantu paus itu muncul semula.

Mungkin, inilah kisah dongeng masyarakat nelayan di barat Jepun supaya berjaga-jaga di lautan dan kurangkan kekerapan memburu ikan paus.