Adakah Manusia Tercipta Daripada Cahaya


Ada penceramah mendakwa manusia terdiri daripada cahaya.


Katanya, saintis buat kajian, kalau bukok-bukok-bukok (belah-belah-belah) kulit kita sampai terbelahnya atom, dapatlah cahaya. Kalau masuk dalam molekul, jumpa cahaya. Adakah manusia dijadikan daripada cahaya? Jawapan pendeknya tidak.

Jawapan panjangnya manusia terdiri daripada molekul-molekul protein, asid amino, lipid, lemak, air dan sebagainya. Molekul-molekul ini pula terdiri daripada atom-atom kalsium, karbon, oksigen, hidrogen, nitrogen dan sebagainya. 

Atom pula kalau dibelah-belah akan dapat elektron, neutron dan proton. Dalam neutron dan proton pula ada kuark. Tiada sebutir cahaya pun dalam struktur kejadian manusia.

Tetapi, manusia melepaskan sinaran elektromagnetik. Bukan manusia sahaja, semua objek melepaskan sinaran elektromagnetik (EM) terutamanya sinaran inframerah. Kenapa? Sebab tenaga.

Apabila kita gunakan banyak tenaga, tubuh kita akan melepaskan haba. Haba ini merupakan sejenis sinaran elektromagnet (sejenis cahaya juga). Tubuh kita tak cukup panas, jadi cuma melepaskan sinaran inframerah. 

Makin tinggi tenaga dan semakin panas suatu objek, ia akan melepaskan kesemua spektrum sinaran EM. Misalnya Matahari. Tenaga dan suhunya sangat tinggi, jadi ia melepaskan semua sinaran EM, bukan saja inframerah.

Beberapa tahun lalu ada saintis Jepun buat kajian bahawa manusia melepaskan satu lagi spektrum elektromagnetik iaitu spektrum cahaya nampak. Tetapi keamatannya tersangat rendah. Boleh baca lanjut di sini

Kejadian-kejadian ini semua bukanlah bermaksud manusia diciptakan daripada cahaya. Sinaran EM daripada tubuh manusia dilepaskan kerana hasil daripada tindak balas fizikal dan kimia. Bukannya kerana sifat kejadian manusia itu cahaya. Kalau sudah mati terurai pun, manusia tidak melepaskan cahaya. 

Kalau betul diciptakan daripada cahaya, patutnya manusia melepaskan cahaya walaupun sudah mati.